Sedar Tak Sedar Periuk Nasi Dituang Pasir

Sedar tak sedar... seluruh kawasan paya bakau pesisir laut perkampungan Pasir Pandak sudah dimajukan dengan projek ternakan udang harimau. Rimbunan pohon bakau yang tinggal beberapa baris bagaikan sengaja dibiarkan bagi melindungi pandangan dari laut supaya projek mega yang meratah khazanah alam ini tidak kelihatan terlalu ketara. Buruh asing dikerah tenaganya tanpa rasa bimbang kerana operasi mereka tidak jelas kelihatan di sebalik barisan sisa pohon bakau yang ditinggalkan. Tetapi apabila dilihat dari imej satelit, muka bumi Pasir Pandak mengunjur hingga ke Sungai Tiram Lekir bagaikan kawasan bekas raksasa bertempur dengan ultraman !


Kawasan pinggir laut Lekir telah sekian lama menjadi habitat pembiakan benih kerang. Jajaran paya bakaunya telah memberi perlindungan kepada pelbagai spesis hidupan laut yang menjadi punca rezeki nelayan kecil di sini. Ketam, siput, kerang dan lala telah sekian lama menyara anak-anak nelayan di sini. Dengan penerokaan kawasan paya bakau, habitat berlumpur paya bakau ini kian menipis. Pantai Tanjung Kepah yang dulunya dipenuhi pohon bakau, kini rebak dan bertukar wajah menjadi pantai berpasir. Projek mega Penjana Elektrik TNB di laut Teluk Rubiah yang menghadap ke pantai Lekir bergabung dengan projek mega ternakan udang harimau merupakan proses pembangunan yang menuntut korban. Soalnya, siapa yang membangun dan siapa pula yang terkorban ? Projek mega yang kononnya kemajuan dan pembangunan ini sebenarnya tidak langsung memberi manfaat kepada penduduk tempatan sebaliknya sedar tak sedar telah mencurah pasir ke periuk nasi kaum nelayan di sini. Pembangunan auta ini sebenarnya telah menjahanamkan warisan laut Lekir yang mungkin boleh menjadi warisan rezeki anak cucu kaum nelayan di masa depan.

Menjelang musim benih kerang pula, aktiviti menyamun benih kerang menjadi pesta di laut Lekir. Benih kerang halus dikaut dan dijual kepada peraih yang merupakan dalang penyeludupan benih kerang ke Thailand. Yang hebatnya, orang luar menceroboh laut Lekir untuk mengaut benih kerang. Apa lagi yang tinggal untuk generasi anak nelayan di masa depan ?