Mesyuarat Sulung AJK PEKENAL

Setelah lulus pedaftaran pertubuhannya, AJK PEKENAL buat sulung kalinya telah bermesyuarat pada 20 Jun 2009 jam 9.15 malam di Dewan Orang Ramai Kampung Pasir Pandak .

Antara agenda yang dibincangkan ialah :

1. Pengurusan keahlian dan yuran

AJK bersepakat untuk bekerjasama mendaftarkan ahli-ahli PEKENAL
Yuran Keahlian RM20.00 (sebagaimana telah ditetapkan dalam perlembagaan)

Yuran Tahunan RM10.00 (sebagaimana telah ditetapkan dalam perlembagaan)

Yuran Bulanan RM10.00

2. Kos Pengurusan Persatuan

AJK telah sebulat suara bersetuju menyumbangkan yuran bulanan RM50.00 seorang bagi menampung kos pergerakan dan pengurusan persatuan sementara persatuan mendapat sumber kewangan.

3. Aktiviti gotong-royong membersihkan kawasan kampung bersama persatuan RELA

4. Protes terhadap projek ternakan udang yang berleluasa

AJK berikrar akan berjuang untuk menentang penerokaan kawasan paya bakau yang dijadikan projek kolam ternakan udang harimau yang mengakibatkan kemerosotan hasil laut yang menjadi sumber pendapatan nelayan. Persatuan akan berusaha membanteras kegiatan penerokaan kawasan paya bakau dan menuntut gantirugi atas kesannya kepada pendapatan nelayan dan kemusnahan khazanah laut yang sepatutnya menjadi warisan kepada generasi nelayan di masa depan.

Sedar Tak Sedar Periuk Nasi Dituang Pasir

Sedar tak sedar... seluruh kawasan paya bakau pesisir laut perkampungan Pasir Pandak sudah dimajukan dengan projek ternakan udang harimau. Rimbunan pohon bakau yang tinggal beberapa baris bagaikan sengaja dibiarkan bagi melindungi pandangan dari laut supaya projek mega yang meratah khazanah alam ini tidak kelihatan terlalu ketara. Buruh asing dikerah tenaganya tanpa rasa bimbang kerana operasi mereka tidak jelas kelihatan di sebalik barisan sisa pohon bakau yang ditinggalkan. Tetapi apabila dilihat dari imej satelit, muka bumi Pasir Pandak mengunjur hingga ke Sungai Tiram Lekir bagaikan kawasan bekas raksasa bertempur dengan ultraman !


Kawasan pinggir laut Lekir telah sekian lama menjadi habitat pembiakan benih kerang. Jajaran paya bakaunya telah memberi perlindungan kepada pelbagai spesis hidupan laut yang menjadi punca rezeki nelayan kecil di sini. Ketam, siput, kerang dan lala telah sekian lama menyara anak-anak nelayan di sini. Dengan penerokaan kawasan paya bakau, habitat berlumpur paya bakau ini kian menipis. Pantai Tanjung Kepah yang dulunya dipenuhi pohon bakau, kini rebak dan bertukar wajah menjadi pantai berpasir. Projek mega Penjana Elektrik TNB di laut Teluk Rubiah yang menghadap ke pantai Lekir bergabung dengan projek mega ternakan udang harimau merupakan proses pembangunan yang menuntut korban. Soalnya, siapa yang membangun dan siapa pula yang terkorban ? Projek mega yang kononnya kemajuan dan pembangunan ini sebenarnya tidak langsung memberi manfaat kepada penduduk tempatan sebaliknya sedar tak sedar telah mencurah pasir ke periuk nasi kaum nelayan di sini. Pembangunan auta ini sebenarnya telah menjahanamkan warisan laut Lekir yang mungkin boleh menjadi warisan rezeki anak cucu kaum nelayan di masa depan.

Menjelang musim benih kerang pula, aktiviti menyamun benih kerang menjadi pesta di laut Lekir. Benih kerang halus dikaut dan dijual kepada peraih yang merupakan dalang penyeludupan benih kerang ke Thailand. Yang hebatnya, orang luar menceroboh laut Lekir untuk mengaut benih kerang. Apa lagi yang tinggal untuk generasi anak nelayan di masa depan ?

Udang oh udang ...

Di bawah ini dipaparkan imej satelit menunjukkan panorama sebenar kawasan perkampungan Pasir Pandak dan sekitarnya. Apa yang menarik adalah pemandangan projek ternakan udang harimau yang begitu meriah di sepanjang pesisir laut perkampungan ini. Tiada lagi barang sejengkal pun tanah pesisir di sini yang terkecuali. Setiap inci darinya dibelasah habis-habisan demi mengaut keuntungan berjuta ringgit dari projek komersil ini. Pastinya projek ini sangat bermanfaat dari aspek nilai komersilnya.


Apa yang menjadi persoalannya, siapakah yang mendapat manfaat dari projek mega ini dan siapa pula yang harus menanggung akibat dari kesan sampingannya ? Tiada sesen pun hasil dari projek mega ini tumpah kepada penduduk tempatan melainkan beberapa kerat golongan yang berkepentingan diri yang telah mengaut keuntungan hasil daripada menjadi balaci bagi menjayakan agenda komersil orang lain . Demi kepentingan diri, segelintir dari mereka yang bertopengkan jawatan kepimpinan telah berjaya melaksanakan peranan meluluskan projek-projek ini. Masakan tidak, kawasan paya bakau yang sebelum ini telah berdekad mengimbangi ekologi pinggir laut di sini musnah sama sekali. Tanah dalam perkampungan orang Melayu dieksploitasi bangsa lain sewenang-wenangnya. Siapakah dalang di sebalik semua ini? Mana mungkin projek-projek ini boleh diluluskan tanpa kerjasama kepimpinan Melayu sendiri ?

Kini, setiap akibat dari projek mega ini dalam sedar atau tidak terpaksa ditanggung penduduk kampung terutamanya golongan nelayan kecil malah anak cucu mereka di masa depan. Sudah sekian kali bumbung rumah terbang diterjah angin kencang dari laut akibat tiada lagi pohon bakau yang menampannya. Tanjung Kepah tinggal namanya sahaja Tanjung Kepah, di manakah kepahnya kini ?

Saban hari, kaum nelayan tempatan menyusur sungai kecil di celah gagasan kolam ternakan udang dengan hati penuh risau mengejar rezeki yang kurang pasti sambil menjeling buruh negara asing (entah ada permit ke tidak) gigih menjalankan tugas menjayakan projek kolam udang. Ekologi paya bakau yang punah telah menghambat segala rezeki pinggir laut. Kepah, ketam, siput dan seumpamanya yang selama ini menghuni ekologi paya bakau sudah lama berhijrah . Pepohon bakau yang tinggal gerigis pun makin lupus. Apakah derita ini akan menjadi anugerah buat penduduk tempatan atas kejayaan projek mega ternakan udang harimau di sini ?!


Projek Pemuliharaan Makam Tok Kondah - Pengasas Penempatan Lekir

PEKENAL dengan kerjasama PERSADA Manjung dan AJK Masjid Al Rahmaniah Bt. 8 Lekir telah melaksanakan projek gotong royong pemuliharaan makam Tok Kondah, pengasas penempatan Lekir pada 24 Mei 2009 yang lalu. Untuk laporan penuh, sila lawati laman ini.